KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menjadikan Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ mendapat sokong sepenuhnya Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dato’ Dr. Awang Sariyan, keputusan itu memberikan ruang tulisan Jawi diletakkan pada martabatnya yang sah.

Tulisan Jawei berusia hampir 1,000 tahun sebelum tulisan Rumi diterima sebagai tulisan rasmi negara.

Dalam kenyataannya, Awang Sariyan berkata tulisan Jawi masyhur pada zaman Kesultanan Melayu menjadi tulisan semua bidang seperti agama, undang-undang, ketatanegaraan, sejarah, perubatan, persenjataan, hikayat dan sastera (prosa dan puisi) malah dalam bidang diplomasi.

Beliau menyebut surat dan perjanjian antara kerajaan di Alam Melayu dengan kuasa asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris turut ditulis dalam tulisan Jawi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mengumumkan Jumaat sebagai Hari Jawi yang berkuat kuasa semalam.

Ia sebagai usaha mengekalkan dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia.