SEMATAN: Pemilik tanah yang mempunyai surat hak milik tanah dinasihatkan tidak sesekali menjual tanah kerana ia adalah aset berharga untuk generasi akan datang.

Adun Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu berkata, tanah yang diberi surat hak milik harus diusahakan sebaik mungkin kerana kawasan Lundu dan Sematan bakal menyaksikan pembangunan pesat selepas pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo siap sepenuhnya.

“Pemberian hak milik tanah kepada penduduk kampung adalah komitmen kerajaan yang melalui pelbagai proses sebelum diukur dan dikeluarkan.

“Ia harus dijaga sebaiknya kerana nilainya semakin meningkat, seiring dengan pembangunan yang dibawa oleh Lebuh Raya Pan Borneo kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Pueh yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini kelmarin.

Jamilah dalam pada itu mengimbau kembali hasrat arwah suaminya yang juga Ketua Menteri kelima Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem untuk melihat Lebuh Raya Pan Borneo dibina di Sarawak.

“Peruntukan untuk membina Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Sematan sahaja tanpa merangkumi Telok Melano.

“Namun, Allahyarham Tok Nan tidak bersetuju dengan cadangan itu dengan berkata – mun di Sematan ajak, minta maaf, aku sik mau – jika di Sematan sahaja, minta maaf, saya tidak mahu,” katanya.

Tambahnya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut bersetuju agar Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Telok Melano hingga ke Lawas.

Menurutnya, ini kerana fokus pembangunan Kerajaan Sarawak bukan hanya untuk kawasan bandar, tetapi juga luar bandar.

“Maka, pelbagai perniagaan yang boleh dibuat oleh penduduk setempat kelak seperti inap desa dan mempromosikan produk tempatan.

“Malah, saya telah meluluskan peruntukan berjumlah RM300,000 untuk membuat dewan penduduk Selako, satu-satunya kaum Bidayuh di Sematan,” ujarnya.