KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Sarawak mencadangkan kepada KDN mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Perkara tersebut adalah bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri.

Fatimah selepas mempengerusikan mesyuarat isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri di Sarawak di pejabatnya berkata, pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dibuat berhubung penubuhan semula jawatankuasa itu yang ditamatkan 2 Julai tahun lepas.

Bagi Fatimah, jawatankuasa ini penting membantu menapis serta memastikan semua dokumen pemohonan lengkap  dan sahih untuk diberikan sokongan sebelum dimajukan kepada JPN dan KDN.

Menurut beliau, sehingga 2 Julai tahun lepas, sejumlah 717 kes permohonan mendapatkan status kewarganegaraan bagi kanak-kanak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dimajukan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan 2016 itu.