KAPIT: Hujan yang berterusan telah menyebabkan berlaku tanah runtuh di jalan utama menuju ke Rumah Panjang Gangeng Anak Eli, Nanga Sebenda Baleh dekat sini hari ini.

Akibat kejadian itu jalan raya ke kawasan rumah panjang berkenaan terputus tidak dapat dilalui kenderaan.

Mejar (PA) Ismail bin Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam laporan rasminya menyatakan kejadian berlaku jam 6 petang tadi.

Pihak APM Kapit katanya telah bergerak ke lokasi bersama-sama pihak Pejabat Daerah Kapit dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kapit bagi meninjau keadaan.

Menurutnya keadaan adalah terkawal dan selamat. Pihak JKR katanya akan menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan jalan raya berkenaan dapat digunakan semula oleh penduduk.