ABIDJAN: Hampir 50 juta penduduk di Afrika mungkin dibelenggu kemiskinan tegar dalam kejatuhan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kata Bank Pembangunan Afrika (AfDB) pada Selasa.

Kira-kira satu pertiga daripada benua dengan 425 juta jiwa itu, dijangka hidup di bawah garis kemiskinan antarabangsa dengan pendapatan AS$1.90 sehari pada 2020, kata AfDB dalam Prospek Ekonomi Afrika, meramalkan situasi menjadi semakin buruk.

Selepas Oceania, Afrika benua paling kurang terjejas dari segi jangkitan dalam pandemik ini, merekodkan hampir 500,000 jangkitan dan hampir 11,700 kematian, menurut kiraan AFP pada Selasa.

Tetapi krisis kesihatan dan penguncian merosakkan pekerjaan, melumpuhkan pendapatan dan menghancurkan ekonomi di seluruh benua itu.

“Antara 28.2 juta dan 49.2 juta lagi penduduk Afrika mungkin terjerumus ke dalam kemiskinan tegar” tahun ini dan tahun berikutnya, sebut laporan AfDB dengan angka pertama adalah ramalan awal dan angka seterusnya ketika berlakunya situasi terburuk.

Institusi berpangkalan di Abidan itu, salah satu daripada lima pemberi penjaman pembangunan multilateral terbesar di dunia, menjangkakan Afrika mengalami kemelesetan besar dengan KDNK diramalkan berkontrak antara 1.7 peratus hingga 3.4 peratus tahun ini seperti yang dilaporkan dalam AFP.