SARATOK: Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz mengumumkan berehat daripada arena politik.

Perkara tersebut diumumkan dalam mesyuarat jawatankuasa Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka.

Wahab menjelaskan keputusan beliau bersara kerana faktor usia, selain memberi peluang kepada pemimpin muda melaksanakan tugas membangunkan Kalaka dan rakyat di Dun tersebut.

Wahab menjadi Adun enam penggal dan pernah berada dalam Kabinet Sarawak memegang jawatan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar pada 2010-2013.

Beliau pernah menjadi Menteri Muda Perumahan dan Perancangan Bandar serta Menteri Muda Pembangunan Tanah pada 2013-2016.

Wahab pada mesyuarat tersebut turut menyerah surat serah tugas sebagai Ketua Cawangan PBB Kalaka kepada Kaunselor Mohamad Duri yang juga Timbalan Ketua PBB Kalaka sebelum ini.

Mohamad Duri turut dicadang sebagai calon menggantikan Wahab untuk Dun Kalaka.