SARATOK: Pada mesyuarat jawatankuasa Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz mengumumkan berehat daripada politik.

Bersara kerana faktor usia, selain memberi peluang kepada pemimpin muda, Wahab pada mesyuarat tersebut menyerahkan surat serah tugas sebagai Ketua Cawangan PBB Kalaka kepada timbalan beliau Kaunselor Mohamad Duri.

Mohamad Duri yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok (MDS)
turut dicadang menjadi calon menggantikan Wahab untuk Dun Kalaka.

Beliau yang aktif bersama PBB sejak 13 tahun lalu, diyakini mampu mempertahankan kerusi Dun Kalaka.

Wahab menjelaskan cadangan meletakkan Mohamad sebagai bakal calon GPS bagi Dun Kelaka pada PRN-12 kali ini, sudah diutarakan kepada pucuk pimpinan.

Menurut beliau, persetujuan sudah dicapai dan sedia untuk diserahkan kepada Ketua Menteri.

Mohamad dalam Kenyataan balasnya, mengucapkan terima kasih kepada Wahab dan semua ahli jawatankuasa cawangan atas kepercayaan yang diberikan terhadap beliau mengemudi Cawangan PBB Kalaka seterusnya mengusulkan nama beliau menjadi calon GPS pada PRN-12 nanti.

Mohamad yang juga sebelum ini menjawat timbalan ketua pemuda dan ketua penerangan PBB Kelaka, berjanji jika dipilih rakyat terus memastikan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik dinikmati rakyat.

Beliau juga berazam merancakkan pembangunan sosioekonomi dan modal insan cemerlang, selain menjadikan Kalaka sebagai hab sukan dan melahirkan ahli sukan berpotensi mewakili negara ke peringkat antarabangsa.