SEMATAN: Selepas menyelesaikan kes mahkamah yang bakal disebut semula 3 Ogos ini, Kerajaan Sarawak menunggu pembayaran cukai jualan (SST) daripada Petronas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja isu tersebut berkata, hal berkaitan dibincangkan dalam pertemuan bersama Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, 17 Jun lalu di Putrajaya.

Menurut Awang Tengah, selain Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan Petronas masing-masing menubuhkan Jawatankuasa Kerja menangani isu ini.

Bercakap selepas menyempurnakan majlis penyerahan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Pueh, Awang Tengah berkata perkara lain dibincangkan ialah tempoh serta langkah pembayaran cukai berkenaan.

Pada 25 Jun lepas, Petronas menggugurkan saman terhadap Kerajaan Sarawak yang mengenakan 5 peratus SST bagi produk petroleum digali di negeri ini.

Sarawak mengheret Petronas ke mahkamah selepas syarikat minyak itu enggan membayar cukai berkenaan bermula Januari 2019.