WALAUPUN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan garis panduan pengiklanan dan produk perubatan kepada orang awam, masih ramai yang membuat overclaim atau tuntutan berlebihan untuk menarik perhatian pelanggan.

Lihat sahaja iklan di laman sosial, begitu banyak produk kesihatan yang dikeluarkan di Malaysia. Kebanyakannya mendakwa produk mereka yang berbentuk jus, jamu, teh dan kopi itu mampu menyembuhkan sesuatu penyakit.

Inilah yang dikatakan produk overclaim. Oleh itu, ramai pengguna terpedaya, dengan mengambil produk tersebut dan akhirnya terlantar di hopsital.

Dalam kalangan masyarakat, orang yang sakit adalah antara yang paling terdesak dan mudah menjadi mangsa penipuan produk tersebut. Mereka tahu produk itu overclaim, tetapi mudah terpedaya memandangkan mereka masih melalui ‘penerimaan hakikat’ bahawa mereka ada penyakit yang serius.

Jadi apabila pesakit menjadi mangsa dan penyakit semakin teruk kerana lambat menerima rawatan, mereka juga kehilangan wang simpanan kerana terpengaruh dengan penjual produk overclaim tersebut.

Ramai penjual produk kesihatan termasuk herba, jamu dan lain-lain menggunakan alasan bahawa produk mereka sudah diluluskan oleh KKM, jadi tentulah selamat dan berkesan.

Menurut Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor, tanggapan ini tidak tepat kerana apa yang KKM lakukan ke atas sesuatu produk adalah sekadar untuk menguji kemunculan bahan asing ataupun pencemaran oleh bahan-bahan tertentu.

Dr Rushdan yang juga ahli Medical Mythbusters Malaysia berkata, ujian yang dilakukan hanyalah untuk kualiti dan keselamatan, bukannya untuk mengesahkan keberkesanan.

Justeru, kelulusan KKM bukanlah bukti produk itu berkesan dan terjamin selamat 100 peratus, tetapi ia hanya lulus tapisan KKM iaitu selamat daripada pencemar yang diuji untuk lesen menjual produk.

Dinasihatkan, jangan beli apa-apa ubat yang overclaim tetapi hanya mengambil ubat yang disarankan oleh doktor perubatan yang bertauliah dan beretika.

Memang benar hidup dan mati bukan ditentukan doktor perubatan, namun kita percaya mereka bertanggungjawab melakukan apa yang terbaik kepada pesakit.

Jadi kita di Malaysia, harus berganding bahu melindungi masyarakat daripada penjual produk “overclaim”, selagi mereka masih berleluasa.

Di laman Facebook, kita dialu-alukan mengikut perkongsian kesihatan oleh pakar perubatan seperti Dr Imelda Balchin, Dr Rafidah Abdullah dan Dr Rusyaninie Ramli.

Mereka sentiasa memberi pendedahan kesihatan dan menyeru masyarakat supaya tidak terpedaya dengan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Bagi membendung masalah produk yang membahayakan ini, aduan juga dapat dilakukan menerusi laman sesawang sistem pengurusan aduan awam tanpa mendedahkan identiti anda.

Untuk itu, sebelum membuat keputusan, kita harus mendengar nasihat pakar bidang perubatan dan bukannya nasihat perubatan daripada penjual produk overclaim.

Usah malu bertanya, dan hendaklah teliti sebelum membuat pilihan atau keputusan. Oleh itu kesedaran yang tinggi terhadap produk yang membahayakan ini amatlah penting, bagi mengelak terpedaya.