KUCHING: Sarawak bakal melakar sejarah tersendiri sebagai negeri pertama di dunia menghasilkan biogas berasaskan kanji rumbia.

Menurut ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada Mac 2020 dan sedang diusahakan Craun Research akan menjadi sumber kepada gas alternatif yang mana kosnya jauh lebih murah berbanding penggunaan gas silinder ketika ini.

Beliau berkata demikian semasa taklimat Projek Rakyat: Bionatural Gas Distribution For Rural Household bersama Ketua Pegawai Eksekutif Craun Research, Zaidell Hussaini semalam.

Projek yang dibangunkan di Kampung Teh dan Kampung Tabo, Mukah itu asalnya untuk mencari penyelesaian secara bersepadu ke atas masalah pencemaran alam sekitar dari aktiviti pemprosesan kanji rumbia sebelum beralih kepada penghasilan biogas berasaskan kanji rumbia pada tahun 2018 hasil kajian Craun Research sejak 2003.

Majlis pelancaran Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair Sagu telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 23 November 2019 bertempat di Kampung Tabo, Mukah.

Sebagai permulaan, biogas yang dihasilkan akan disalurkan untuk kegunaan isi rumah di sekitar Kampung Teh dan Kampung Tabo bagi menggantikan penggunaan gas konvensional.

Kaedah akan dikaji dengan sebaiknya bagi memastikan ianya selamat digunakan oleh isi rumah.