ROBAN: Seorang penunggang motosikal lelaki maut apabila bertembung dengan lori pengangkut buah kelapa sawit di Kilometer 1 Jalan Roban jam 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin ketika mengesahkan kejadian itu menjelaskan kemalangan tersebut berlaku jam 2 petang di satu selekoh Kilometer 1, kawasan Kampung Mundu Roban.

Polis turut mengesahkan mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Alif Aidil Bin Roslan.

Mangsa berumur 26 tahun dan alamat pada kad pengenalannya adalah Sublot 17, Taman Gamang Fasa 2, Jalan Brayun, 95000 Sri Aman.

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kaki, dada dan kepala.

Ketika kejadian lori berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Roban ke Saratok.

Manakala mangsa yang menunggang motosilal jenis Honda Wave datang dari arah simpang Roban menuju ke pekan Roban.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, PPgB Nazry Mohamat, yang dihubungi membeitahu pasukan bomba telah menerima makluman daripada orang awam tentang kejadian dan bergerak ke lokasi untuk untuk bantuan jam 3.15 petang dan seterusnya membantu mengeluarkan mangsa yang masih tersangkut pada bahagian hadapan lori tersebut.

Pemandu lori yang berusia 29 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut.