KUCHING: Daerah Kuching hari ini telah bertukar status daripada kuning kepada hijau apabila tidak mencatatkan kes positif Covid-19 selama dua minggu sekali gus bermakna semua daerah di Sarawak kini berada dalam status hijau

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, indikator kod warna daerah adalah berdasarkan bilangan kes yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

Sehingga hari ini, terdapat 573 kes positif dengan 17 kematian.

Sarawak hari ini mencatatkan satu kes positif Covid-19 di Sibu  membabitkan seorang jurutera syarikat minyak dan gas di Arab Saudi,  menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini sebanyak 573

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kod warna merah bagi bilangan kes melebihi 40 orang, warna kuning bagi 1-40 orang dan warna hijau bagi tiada kes. 

Ujarnya, Kerajaan Negeri  merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan rakyat negeri ini yang memberi kerjasama dalam  usaha memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini.

“Kita berharap kerjasama ini berterusan sehingga kita bebas daripada wabak Covid-19 namun dalam kita melihat angka yang menurun, kita jangan mengambil ringan kerana kita masih lagi berperang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.