KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak mengambil maklum terhadap isu terkini yang tular di media sosial berkenaan kenaikan harga ayam di pasaran negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin, kpdnhep Sarawak memaklumkan mengenai pemantauan dan pemeriksaan yang telah ditingkatkan supaya tiada kenaikan harga ayam berlaku di pasaran seluruh negeri Sarawak.

Sejumlah 183 anggota pegawai penguat kuasa yang merangkumi sebanyak 9 cawangan KPDNHEP di seluruh negeri Sarawak telah berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli- belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan tersebut

Menurut kenyataan tersebut juga, sepanjang tempoh PKP sehingga ke PKPP, menerusi semakan dalam sistem e-aduan, KPDNHEP Sarawak tidak menerima sebarang aduan berkenaan kenaikan harga ayam di pasaran daripada orang awam.

Dalam pada itu, KPDNHEP Sarawak turut mempertingkatkan pemantauan harga melalui sejumlah 102 pegawai pemantau harga yang menjalankan pemantauan harga ayam.

Berdasarkan kutipan harga daripada Bahagian Harga Barangan Negara (BHBN) KPDNHEP Sarawak, harga jualan ayam bersih standard (1kg) berada pada aras normal dan tidak menunjukkan sebarang kenaikan bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 iaitu di antara RM 6.90 hingga RM 8.50/ kg.