KABONG: Dua beradik yang terlantar sakit sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir apabila beliau dan isteri Meryani Haji Yassin meluangkan masa menziarahi kedua-duanya petang semalam.

Meskipun merupakan pasangan adik-beradik namun kedua-duanya tinggal di rumah berasingan.

Pesakit pertama Balia Edi,60 tahun, telah terlantar sakit sejak 2016 dan tinggal di Kampung Hilir Laut Kabong.Balia tidak dapat bergerak kerana menderita sakit tulang belakang.

Kunjungan ke rumah Balia dilakukan jam 3 petang dan kemudian disusuli dengan kunjungan ke rumah Bantia Edi,55 tahun, adik kepada Balia yang tinggal di Kampung Hilr Kabong.

Bahtia terlantar dan tidak dapat bergerak kerana telah menderita sakit sejak 2018.

Ketika kunjungan itu Chee turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada pasangan adik-beradik yang sakit itu bagi meringankan sedikit bebanan keluarga.

Menurut Chee dengan adanya sedikit sumbangan itu diharapkan boleh digunakan untuk membeli keperluan harian dan juga lampin pakai buang bagi kegunaan pesakit tersebut.

Chee turut berharap semoga kedua-dua pesakit tabah menempuh dugaan dan mendoakan semoga kedua-duanya cepat pulih.