KUCHING: Melalui operasi khas ‘Nut Crackers’ Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya mematahkan dua sindiket besar penyeludupan dadah ke Sarawak bernilai RM10 juta.

Operasi enam hari itu turut berjaya menahan 14 individu termasuk dua pegawai polis berpangkat ASP dan Subinspektor berusia dalam lingkungan 26 hingga 58 tahun disyaki menjadi keldai dadah dan bersekongkol dalam sindiket terbabit.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga tujuh hari bagi siasatan lanjut.

Pegawai polis terbabit ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Bahaya(ADB) Langkah Pencegahan Khas 1985.

Manakala, 12 lagi suspek disiasat di bawah 39B ADB 1952 dengan empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah kesalahan dadah. Sementara, tiga lagi positif methamphetamine.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen Pelucutan Hak dan Harta 1988 dengan polis berjaya menyita harta RM1.07 juta.

Pengarah JSJN Datuk Ramli Din pada sidang media di Bukit Aman pada Selasa berkata, kejayaaan tersebut merekodkan jumlah tangkapan terbesar sindiket penyeludupan dadah di Sarawak tahun ini.

Siasatan mendapati sindiket terbabit membawa bekalan dadah pelbagai jenis untuk dipasarkan di Sarawak termasuk Indonesia dan Brunei.

Menurut beliau, rampasan melibatkan 182 kilogram dadah dapat digunakan sehingga 580,000 pengguna itu berjaya dilakukan setelah serbuan dilakukan di 12 lokasi di empat negeri berasingan merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sarawak.

Beliau menambah, operasi turut menemui makmal haram di pedalaman berhampiran Batang Kali Selangor yang mampu menghasilkan 70,000 pil Eramin 5 bernilai RM1 juta pada satu-satu masa dengan kekerapan pemprosesan tiga hingga lima kali seminggu

Hasil serbuan ke atas makmal terbabit berjaya merampas 266,750 biji pil Eramin 5, 440 kg bahan kimia dan 13 mesin memproses pil dadah jenis Eramin 5.

Siasatan masih diteruskan untuk mencari harta diperoleh hasil keuntungan sindiket dadah terbabit.

Ramli mendedahkan modus operandi sindiket dikesan menggunakan taktik menerbangkan keldai dadah dari Sarawak dan ditempatkan di hotel lima bintang di Kuala Lumpur.

Suspek membungkus dadah di hotel berkenaan sebelum dibawa menerusi KLIA untuk diterbangkan ke Sarawak.

Cara lain ialah keldai dadah berulang-alik dari lokasi Semenanjung-Sarawak. Siasatan mendapati suspek berjaya menghantar dadah 28 kali menerusi kaedah tersebut semenjak 2017.