KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata ketegasan kerajaan sangat diperlukan pada saat banyak pihak cuba untuk memburukkan imej negara.

Ujarnya, tindakan salah lapor dengan sengaja oleh stesen TV Al Jazeera jelas sekali menunjukkan mereka punya niat jahat untuk memberikan gambaran buruk kononnya pihak berkuasa kita menzalimi warga asing.

“Ramai tahu Al Jazeera juga sering menyiarkan berita berat sebelah dan sering menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tapi perkara itu tidak berlaku ketika 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan.

“Hari ini media asing itu sudah mula untuk memburuk-burukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula. Kenapa? Adakah ada pemimpin PH yang berada di belakang media asing tersebut?” soalnya..

Sehubungan itu tegasnya, Puteri UMNO mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan jahat dan biadap pihak luar yang cuba menjatuhkan imej negara termasuk warga asing yang tinggal dalam negara kita.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Dalam perkembangan terbaharu, dilaporkan polis memulakan siasatan berhubung laporan Al Jezeera yang didakwa berniat memburukkan imej Malaysia dan akan memanggil pengendali dan wartawannya dalam masa terdekat.