KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, amat komited dalam membantu rakyat di negeri ini khususnya golongan yang kurang berkemampuan bagi menerima bantuan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni, PPRMS merupakan salah satu projek Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diperkenalkan bagi meneruskan kesinambungan projek Persekutuan selepas Kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan (PH) telah memberhentikan bantuan ini.

“Projek ini telah memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar layak menerima baik pulih rumah supaya lebih selesa daripada sebelumnya seperti yang diterima penerima Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di Kampung Bako Hulu ini,” katanya semasa diminta mengulas mengenai mereka yang menerima bantuan PPRMS di Kampung Bako Hulu baru-baru ini.

Salah seorang penerima bantuan, Ibrahim bin Abdullah ketika ditemui melahirkan ucapan terima kasih kepada ADUN Demak Laut Dr Hazland di atas bantuan yang diberikan dalam baik pulih rumah ini.

“Sebelum ini rumah saya banyak mengalami kerosakan dan tidak selamat. Rosak di dapur, atap bocor, dinding berlubang, tandas dan bilik mandi tidak elok dan sebagainya. Bagaimanapun, selepas semuanya dibaik pulih oleh kontraktor, kini rumah saya selamat dan selesa,” katanya.  

SUMBER: BULETIN DEMAK LAUT