KUCHING: Sebanyak 48 saman pelbagai kesalahan trafik berjaya dikeluarkan dalam Op Mabuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (BSPT IPD) Kuching di Jalan Simpang Tiga, malam Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa menambah, dua individu memandu di bawah pengaruh alkohol juga ditahan dalam operasi sama.

Katanya, operasi dilakukan bagi membanteras pengguna jalan raya yang ingkar peraturan trafik serta menunggang atau memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, seramai 11 anggota termasuk pegawai dan dibantu dua anggota ATM berada di lokasi bagi menjalankan operasi yang bermula jam 9.30 malam sehingga jam 2 pagi.

Hasil keputusan ujian alat EBA mendapati dua individu lelaki masing-masing berusia 19 dan 35 tahun positif alkohol iaitu kandungan alkohol melebihi 99mg/100mg dan 208mg/100mg.

“Kedua-dua suspek di tahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawa ke IPD Kuching untuk tindakan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, antara rekod saman yang dikeluarkan termasuk empat keping tiada lesen memandu, 16 keping gagal tunjuk lesen, 13 keping nombor plat yang diubah suai dan enam keping Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

Merbin turut mendedahkan, sebanyak 55 kenderaan melibatkan 76 individu diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

Tegasnya, Op Mabuk akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol yang tinggi dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya daripada berlaku.

Pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi terhadap pesalah mabuk dan akan mengenakan tindakan pertuduhan di mahkamah sekiranya berjaya ditangkap oleh pihak polis.