KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memburu warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Rayhan individu yang muncul dalam dalam laporan 101 East Al Jazeera “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” dikatakan menohmah dengan dakwaan palsu wujud diskriminasi ketika negara menangani kes Covid-19 membabitkan warga asing.

Rayhan dikatakan berada di negara ini sejak 2014 dan memiliki permit kerja dalam sektor pembinaan.

Sebelum ini tular profil media sosial milik lelaki berkenaan yang tertera pekerjaannya sebagai Ketua Pemasaran syarikat produksi.

Syarikat produksi tersebut bagaimanapun melalui satu kenyataan menafikan warga Bangladesh itu kakitangan mereka.

JIM meminta kerjasama orang awam menjejak Rayhan 25 yang dikesan tinggal di alamat terakhir di Sirhan Legacy, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.