MELALUI hari terakhir di sekolah tanpa kehadiran anak murid memang suatu yang agak janggal sekali gus menerbitkan rasa pilu dan sebak.

Itu yang terpaksa dilalui oleh seorang guru di Sekolah Kebangsaan Abang Leman (SKAL) Kabong apabila pada hari terakhir perkhidmatannya sebagai guru hanya diraikan dalam kalangan para guru tanpa kehadiran anak murid kerana murid sekolah masih belum memulakan persekolahan kerana masih tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berlangsung kini.

Setelah menabur bakti selama 34 tahun, Zubaidah Wan Shukran memilih untuk bersara pada usia 56 tahun.

Berkhidmat selama 34 tahun sebagai seorang guru merupakan satu tempoh masa yang agak panjang dan banyak catatan pengalaman pahit manis dilalui sepanjang tempoh berkenaan.

Zubaidah memulakan karier perguruan di SRB. Cardinal Vaughan Song pada 6 Januari 1986 sebaik tamat latihan perguruan di Maktab Perguruan Rajang Bintangor (MPR).

Kemudian beliau berpindah ke SK. Bandaran No.2 Sibu Pada 1 Disember 1989.

Dan pada 1 Februari 1992 beliau berpindah tugas ke SK. Abang Leman Kabong yang juga merupakan sekolah di kampung halamannya sendiri.

SKAL menjadi stesen terakhir beliau bertugas selama 28 tahun hinggalah bersara rasmi pada 6 Julai 2020.

Dalam ucapan pada hari persaraan Zubaidah antara lain menitipkan salam kasih sayang buat anak-anak muridnya yang tidak berkesempatan ditemui pada hari persaraannya apatah lagi untuk bersalaman pada hari penuh bersejarah itu.

Zubaidah yang gagal membendung air mata dan berucap dalam nada tersekat-sekat kerana menahan sebak berharap rakan-rakan gurunya dapat menyampaikan salam beliau kepada anak-anak muridnya apabila sekolah dibuka semula kelak.

Kata Zubaidah beliau tidak pernah menjangka persaraannya terpaksa melalui kelaziman baharu dan sepi tanpa kelibat dan telatah anak murid di samping terpaksa melalui prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Begitupun katanya itu juga merupakan catatan penting dalam perjalanan kariernya sebagai seorang pendidik yang bakal dikenang pada masa hadapan.

Beliau juga berharap rakan-rakan gurunya yang masih bertugas akan terus komited dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik walau dalam apa jua situasi demi menyempurnakan amanah yang digalas demi membentuk generasi dan anak bangsa yang berilmu,berintergriti dan berguna kepada negara.