KABONG: Seramai 25 Ketua Kampung (KK) dan 54 Tuai Rumah (TR ) di kawasan Daerah Kabong bakal dilanjutkan perkhidmatan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Mesyuarat Panel Pemilihan Ketua Masyarakat, Ketua Kampung Dan Ketua Kaum Peringkat Bahagian Betong Bil. 1/2020 berlangsung hari ini dengan turut dihadiri oleh ADUN Kabong, Mohd.Chee Kadir.

Mesyuarat yang dilangsungkan secara ‘live zoom’ bermula jam 9 pagi hingga jam 11.30 pagi tadi dipengerusikan oleh Residen Betong, Friday Belik.

Ketika berlangsung mesyuarat tersebut Pegawai Daerah Kabong, Rashdan Hazemi mengemukakan senarai nama KK dan TR serta Ketua Masyarakat ( penghulu) untuk dipersetujui panel mesyuarat.

ADUN Kabong,Mohd.Chee Kadir yang ditemui berkata hampir kesemua ketua kaum, ketua masyarakat dan ketua kampung di Kabong dilanjutkan tugas untuk sepenggal lagi hingga 2022.

Chee turut merakamkan penghargaan kepada semua ketua masyarakat terlibat sepanjang dua tahun perkhidmatan sebelum ini.

Kata Chee, keputusan pemilihan akan diberitahu kemudian sebaik kelulusan rasmi dikeluarkan oleh pihak Residen Betong.