SARIKEI: Wanita Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Sarikei meneruskan tradisi turun padang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Baru-baru ini mereka menyampaikan sumbangan kepada Jimah Rabong di Jalan Kim San; Wuok Siew Chui di Jalan Merudu; Mas Seri Seri di Ulu Bayong dan Amoi Kalong di Jalan Repok.

Sehubungan itu, Ketua Wanita SUPP Sarikei Wong Zee Yeng berharap bantuan itu dapat membantu meringankan beban penerima.

“Sumbangan disalurkan dalam pelbagai bentuk termasuk bantuan makanan asas.

“Ini juga merupakan salah satu pendekatan kami untuk mengetahui, memahami serta menyelesaikan masalah penduduk akar umbi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pendekatan seumpama itu mampu merapatkan lagi hubungan baik di samping menarik penyertaan ahli dalam kerja amal dan kemasyarakatan.

Wanita SUPP katanya, sentiasa turun padang mendengar masalah dan membantu mereka yang memerlukan sama ada di kampung mahupun rumah panjang.

“Ini juga platform kami untuk mendekati masyarakat serta cuba membantu dengan apa-apa yang termampu,” katanya.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Kapitan Law Pick Hung, Kapitan Chieng Hei Chin dan Kaunselor Wong Siew Ming wakil Wanita SUPP Cawangan Sarikei.

Hadir sama Kapitan Ling Dien yang mewakili Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii.