KUCHING: Januari lepas Parti Sarawak Bersatu (PSB) berazam tinggi menang sebanyak mungkin kerusi pada PRN-12 Sarawak.

Justeru, Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh pada satu majlis berkata, PSB bertanding di semua 82 kerusi atau sekurang-kurangnya di 50 kerusi Dun yang berpotensi menang.

Difahamkan, kerusi terbabit dikenal pasti dengan calon terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam, pesara kerajaan dan golongan profesional.

Awal Julai lepas, bekas Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pula mengesahkan beliau mempertahankan kerusi Ba’Kelalan di bawah PSB yang baharu disertainya.

Bercakap bertemu penyokongnya yang turut keluar PKR dari Trusan Tengah dan Trusan Laut di Lawas 2 Julai lalu, Baru mengulang kenyataan presiden bahawa PSB bertanding di semua 82 kerusi DUN seluruh negeri PRN-12 nanti.

Baru mengambil keputusan menyokong bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan meninggalkan PKR.

PSB ialah parti jelmaan UPP, parti serpihan SUPP yang dijenamakan semula selepas kurang mendapat sokongan sebelum ini.

Difahamkan, PSB akan turut bertanding di kerusi disandang PBB.

Dalam PRN-11 pada 2016, pembangkang hanya menang 10 daripada 82 kerusi DUN.