KUCHING: Belum pun tarikh Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) diumumkan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai terus agresif memperkasa jenteranya.

Hari ini, berlangsung perjumpaan antara Naib Presiden PBB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bersama Ketua-ketua Pusat Tempat Mengundi (PTM) DUN N.4 Pantai Damai.

Dr Abdul Rahman berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai mempunyai 17 PTM dan 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Perjumpaan kita berkisar kepada usaha untuk memudahkan urusan pengundian terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kita mencadangkan untuk ditambah bilangan saluran mengundi dan masa pengundian dipanjangkan,” katanya.

Menurutnya, pada setiap kali pilihan raya, beliau bersama jenteranya sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan semasa proses pengundian.

“Kita tidak mahu berlaku sebarang masalah semasa proses pengundian. Apa yang penting kita dapat menggalakkan pengundi turun lebih awal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, kawasan DUN Pantai Damai mempunyai kira-kira 20,010 pengundi.

“Kita mempunyai seramai 16,628 ahli PBB setakat ini dan kita akan terus berusaha untuk meningkatkan keahlian dari masa ke semasa,” jelasnya.