KUCHING: Jentera PBB Cawangan Pantai Damai sedia menghadapi PRN-12 yang berlangsung bila-bila masa sesuai dengan tempoh Dun Sarawak tamat April 2021.

Naib Presiden PBB, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, PRN kemungkinan berlangsung dalam tempoh masa terdekat dan jentera perlu disiapkan bagi menghadapi PRN ini.

Berucap pada Randau Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kampung Jaya Bakti pada Sabtu, Adun Pantai Damai itu berkata, penting melibatkan kerjasama antara kepimpinan PBB di peringkat cawangan dan ranting.

Menurut beliau, ini merupakan pilihan raya pertama berlangsung di bawah kepimpinan Abang Johari dan penting bagi akar umbi memastikan PBB Lebih cemerlang dengan mengembalikan mandat kepada Ketua Menteri untuk mentadbir Sarawak.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu turut meminta jentera parti tidak memandang rendah cabaran lawan sebaliknya perlu memastikan pengundi turun menyokong calon GPS.