SIMANGGANG: GPS tetap tenang, utuh dan sepakat tetapi keadaan itu tidak ada pada blok pembangkang di Sarawak, kata Adun Lingga Simoi Peri.

Katanya, GPS tetap tenang dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi pembangunan di kawasan luar bandar dan sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi negeri.

“Ini berbeza dengan pembangkang di Sarawak yang sudah ketandusan idea. “Mereka menggunakan banyak persepsi dengan mengundang kerugian kepada rakyat seperti memainkan isu pembinaan Jalan Utama Kedua di pesisir pantai Sarawak.

“GPS yang terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP sentiasa utuh dan sepakat tetapi kini menghadapi masalah keluar parti yang dahsyat disebabkan tiada lagi kepercayaan kepada pemimpin utama mereka.

“Sementara PSB pula bergelut mencari calon yang akan mewakili mereka di 82 kawasan Dun seperti yang diumumkan sebelum ini. “Namun sehingga kini tiada yang mahu tampil kerana mengetahui pemimpin GPS telah menjalankan tugas mereka dengan baik,” katanya kelmarin.

Bagaimanapun jelasnya, ini tidak bermakna GPS memandang rendah ke atas parti lawan yang turut mendapat sokongan daripada pemimpin mereka di Semenanjung Malaysia dan PSB dikatakan mempunyai banyak wang.

Ketika diminta mengulas tentang sokongan Bersatu dan Pas terhadap GPS pada PRN-12, Simoi meyatakan GPS menyambut baik tindakan tersebut. “Ini menunjukkan PN membalas jasa dan budi baik GPS yang selama ini menyokong PN sehingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan (PN + GPS) selepas Langkah Sheraton penghujung Februari lalu.

“Malah, kenyataan terbuka Pengerusi GPS sebagai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin juga dianggap telah ada satu kesepakatan.

“Apa-apa pun yang berlaku, sokongan PN kepada GPS dalam PRN-12 akan datang perlu diterjemahkan bukan sahaja dalam politik, tetapi juga dalam bentuk pembangunan, ekonomi dan sosial,” ujarnya.

Beliau menambah PN tidak mustahil mampu memenangi PRU-15 jika ia diadakan serentak dengan PRN-12 memandangkan rakyat sudah boleh menerima Kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin selepas melihat kejayaan dalam menangani  Covid-19 dengan penuh prihatin.

“Sebanyak 12 ahli gabungan dalam PN juga menyatakan sokongan mereka ke atas Muhyyiddin sebagai calon Perdana Menteri jika menang pada PRU-15. Ia sekali gus menunjukkan keputusan konkrit atas kerjasama ini.

“Sesungguhnya, Kerajaan PN berusaha memulihkan kembali ekonomi negara selepas terkesan ekoran pandemik Covid-19 dan impak buruk pemerintahan Kerajaan PH selama 22 bulan,” jelasnya.