BINTANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang yang meminta lanjutan kontrak minimum selama tiga tahun dengan gaji £250,000 (RM1.33 juta) seminggu untuk kekal bersama kelab.

Pemain berusia 31 tahun itu sudah memasuki bulan terakhir kontraknya dan perbincangan sedang berlangsung untuk melanjutkan kontraknya selepas tertangguh sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

Gunners masih belum memutuskan bajet untuk musim perpindahan pemain kerana segala-galanya bergantung kepada saingan Eropah manakah yang akan disertai musim depan namun meletakkan Aubameyang sebagai keutamaan mereka.

Aubameyang yang berkongsi pendahulu penjaring terbanyak Liga Perdana bersama Jamie Vardy dengan 19 gol, menyatakan keinginannya untuk kekal dan semua pihak sedang berusaha untuk mencapai persetujuan bersama.

Mengambil kira usianya, kontrak seterusnya untuk Aubameyang dilihat sebagai yang terakhir dalam kariernya dan dia berada di kedudukan selesa sepanjang proses perbincangan kerana cemerlang sejak tiba dari Borussia Dortmund pada Januari 2018.

Selepas menjaringkan dua gol ketika bertemu Norwich, pemain antarabangsa Gabon itu muncul pemain paling pantas sepanjang sejarah Arsenal meraih lebih 50 gol di Liga Perdana.

Kontrak Aubameyang ketika ini di bawah £200,000 (RM1,070,000) seminggu tetapi mempunyai pelbagai tambahan insentif membabitkan prestasi individu dan pasukan.

Ia termasuklah bayaran jumlah penampilan, bonus gol dan ganjaran layak ke Liga Juara-Juara.

Meskipun sudah melebihi usia 30 tahun, Arsenal berasakan Aubameyang cukup penting untuk pasukan dan juga berada dalam perancangan pengurus, Mikel Arteta.