KUALA LUMPUR: Tujuh Ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju  cadangan penukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalannya seperti usul yang dikemukakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketujuh-tujuh Ahli Parlimen daripada PKR, Parti Amanah Negara (Amanah); DAP, Bebas, Parti Warisan Sabah (Warisan); Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyifatkan, jawatan tersebut harus berkecuali dan tidak terkesan dengan mana-mana pergolakan politik.

Menurut mereka dalam satu kenyataan, Parlimen adalah institusi penting sebagai wadah demokrasi dan membawa suara rakyat.

“Ia tidak harus dijadikan medan percaturan politik secara sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah.”

Mereka terdiri daripada Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat); Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang), Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam).

Turut tersenarai Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dan Baru Bian (Selangau-PSB).

Kenyataan itu merujuk usul dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dewan Rakyat untuk menamatkan khidmat Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan beliau, Nga Kor Ming.

Mohamad Ariff mengesahkan telah menerima usul mencadangkan khidmatnya bersama-sama Kor Ming ditamatkan, selari Peraturan Majlis Mesyuarat.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan turut mengesahkan usul itu dibawa Perdana Menteri dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu.

Sementara itu, tambah kenyataan itu, Mohamad Ariff dan Kor Ming dilihat telah berkhidmat dengan penuh profesional sebagai pengelola dan timbangtara Dewan Rakyat.

“Tidak ada asas kukuh untuk menyingkirkan kedua-duanya. Sejak pelantikan Yang di-Pertua sebagai Speaker Parlimen, pelbagai reformasi dan penambahbaikan Parlimen dilancarkan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen,” katanya.

“Langkah pembaharuan diperkenalkan untuk mempertingkatkan mutu dan memastikan ketelusan prosiding Parlimen.