LUNDU: Cubaan menyeludup keluar enam pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh seorang tekong wanita warga tempatan gagal setelah kenderaan yang dinaiki mereka ditahan di sebuah lorong tikus sempadan Malaysia-Indonesia berhampiran kebun Kampung Biawak, kelmarin.

Aktiviti terbabit berjaya dipatahkan sepasukan anggota 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ketika menjalankan Ops Kerangka di lokasi kejadian sekitar jam 9 pagi.

Markas Divisyen Pertama Infantri menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda pada jarak kira-kira satu Kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia sebelum pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penumpang merupakan PATI yang dipercayai untuk dihantar ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua warga Indonesia mempunyai passport tamat tempoh manakala empat daripadanya gagal mengemukakan sebarang dokumen sah perjalanan.

“Kesemua suspek termasuk pemandu kenderaan, seorang wanita warga tempatan yang dipercayai tekong telah ditahan untuk tindakan siasatan lanjut, ” jelas kenyataan itu semalam.

Tambahnya, turut dirampas, beberapa barangan termasuk telefon bimbit, wang tunai Malaysia dan Indonesia, serta sebuh kenderaan pacuan empat roda yang dianggarkan bernilai RM 58,913.00.

Susulan itu, kenyataan itu berkata, kesemua suspek bersama barang rampasan telah dibawa dan diserahkan ke Balai Polis Lundu untuk tindakan lanjut.