Mesyuarat Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam mencetuskan pelbagai spekulasi dalam 2.8 juta rakyat negeri Sarawak dan juga penganalisis politik.

Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu dipercayai membincangkan isu di peringkat Persekutuan atau Negeri.

Petang Jumaat, media menerima jemputan membuat liputan mesyuarat berkenaan yang dijadual jam 11 pagi di ibu pejabat parti berkenaan di Jalan Bako, di Kuching.

Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi semalam, pesanan ringkas diterima daripada pegawai Pejabat Ketua Menteri dikatakan memaklumkan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu diadakan secara tertutup.

Malah, beberapa petugas media yang sudah ada di kawasan ibu pejabat PBB dilarang memasuki pekarangan bangunan ibu pejabat parti berkenaan.

Selain Ketua Menteri kelihatan memasuki ibu pejabat parti itu sekitar jam 10.45 pagi.

Beliau dikatakan dijadualkan mempengerusikan parti tulang belakang GPS dan Kerajaan Sarawak itu pada jam 11.00 pagi.

Yang   dikatakan turut kelihatan memasuki bangunan itu ialah beberapa pemimpin kanan parti antaranya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Yang lain ialah Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Fatimah Abdullah; Ketua Pergerakan Pemuda, Gerald Rentap Jabu serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Julaihi Narawi.

Pada Rabu lalu, Abang Johari mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

Gambar sekitar pertemuan itu termasuk yang memperlihatkan Abang Johari duduk berdekatan Perdana Menteri ketika mesyuarat dan juga gambar ketika beliau keluar dari kereta tular dan diberi pelbagai tafsiran.

Ya, sekeping gambar membawa seribu satu makna dan kisah.

Berdasarkan gambar berkenaan yang turut dimuat naik oleh Perdana Menteri melalui Facebook, menunjukkan pemimpin yang menyokong PN dan Muhyiddin juga kelihatan.

Ini termasuk pemimpin parti politik yang menganggotai GPS, iaitu  pemimpin PRS, SUPP, dan PDP.

Jadi, apabila PBB mengadakan mesyuarat khas itu, dan secara tertutup, ini mencetuskan pelbagai spekulasi.

Persoalannya, adakah mesyuarat itu persediaan untuk PRU? Atau ia persediaan untuk PRN Sarawak?

Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir Jun tahun depan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) diadakan pada 7 Mei 2016.

Berdasarkan rekod sebelum ini, PRN Sarawak biasanya diadakan setahun lebih awal.