LAWAS: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membina pelbagai prasarana di sekitar Parlimen Lawas semasa mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau ke Sarawak, semalam.

Sebelum itu, beliau bersama rombongan telah meninjau tapak Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Jalan Luar Bandar (JALB) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Beliau turut meluluskan projek prasarana yang melibatkan pembinaan JPD dari Sekolah Kebangsaan Long Tukon dan Kampung Long Kachu, di Lawas dengan kos sebanyak RM500,000.

JPD sepanjang 600 meter itu akan dibina dengan mengambil kira masalah banjir yang berlaku di sepanjang laluan sebelum ini sekaligus memudahkan akses penduduk kampung bagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah Long Tukon.

Terdahulu, beliau melihat sendiri keperluan pembinaan titi di Kampung Perpindahan Awat Awat bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya, permohonan bernilai RM400,000 diluluskan sesuai aspirasi kerajaan memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan terbabit.

“Kementerian kami (KPLB) juga meluluskan pembinaan 10 rumah PPRT dengan kos bina baharu RM600,000 di Lawas.

“Bagaimanapun, projek membabitkan JALB melibatkan kos RM125.5 juta dari Kampung Murud Suang ke Long Tengoa, Lawas sepanjang 20 kilometer akan dipertimbangkan bagi kelulusan pihak kerajaan pusat,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Dr Abd Latiff berkata, akses perhubungan fizikal dan internet adalah penting untuk menjadi ‘game changer’ kepada penduduk di luar bandar.

Ujarnya, KPLB akan terus memacu ekonomi luar bandar bukan sahaja dengan membina prasarana yang diperlukan masyarakat luar bandar untuk mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Kita juga menumpukan kepada aspek menaik taraf sosio ekonomi golongan B40 menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” jelasnya.