KUCHING: Op Mabuk dilaksanakan pagi tadi dan juga malam tadi bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol dan juga kesalahan trafik yang lain.

Op Mabuk berkenaan melibatkan seorang pegawai dan 10 anggota polis serta dibantu oleh dua anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt. Merbin Lisa dalam sidang media berkata sebanyak 48 saman telah dikeluarkan yang melibatkan pelbagai kesalahan pemandu.

“Saman yang dikeluarkan adalah pemandu tiada lesen memandu (4 saman) , gagal tunjuk lesen ( 14 saman) nombor plet fancy (13 sama), LKM tamat tempoh (6 saman), ubahsuai ekzos (4 saman), lesen tamat tempoh (1 saman), tidak pamer cukai jalan (3 saman) , tidak pamer pelekat ‘P’ (1 saman), ubahsuai struktur kenderaan (1 saman ) dan tiada cermin sisi (1 saman)

“Manakala 3 lelaki tempatan berumur 19 , 35 dan 38 tahun telah ditahan dan dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan lanjut kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. Hasil ujian menggunakan alat EBA, 2 daripada 3 mereka yang berumur 19 tahun dan 35 tahun didapati positif alkohol iaitu kandungan alkohol melebihi 99mg/100mg dan 208mg/100mg manakala seorang lagi negatif hasil ujian.

“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000.00 dan tidak lebih RM6,000.00 atau penjara tidak melebihi 12 bulan,”ujarnya.

Tambah Supt. Merbin Lisa lagi, Op Mabuk seperti ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol yang tinggi dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Pihak polis katanya turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan serta tidak memandu di dalam keadaan mabuk.

Memandu dalam keadaan mabuk jelasnya berbahaya terhadap nyawa diri sendiri dan nyawa pengguna jalan raya lain.

Pihak polis katanya tidak akan sesekali berkompromi terhadap pesalah mabuk ini dan tindakan tuduh mahkamah akan diambil jika dikesan memandu dalam pengaruh alkohol berlebihan.