KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 direkodkan di Sarawak hari ini untuk tujuh hari berturut-turut, justeru kes positif kekal  571 kes. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata hanya dua daerah masih berstatus kuning iaitu Kuching dan Sibu selepas Bintulu kembali kepada hijau. 

“Terdapat satu kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari Hopital Umum Sarawak (HUS) hari ini. 

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif yang sembuh dan discaj  546 orang atau 95.62 peratus dengan lapan orang masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan.  

Bagi kes orang di bawah siasatan (PUI) pula, sebanyak enam PUI baharu dilaporkan hari ini dengan lima kes masih menunggu ujian makmal. 

Manakala  106 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel hari ini menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 13 buah hotel adalah seramai 684 orang. 

Dari segi pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), setakat ini 2,154 premis  dipantau melibatkan pasar raya, restoran, kilang, bank, pejabat kerajaan, penjaja, pasar tani/awam, tempat ibadah, tempat riadah, tapak pembinaan dan lain-lain. 

Enam sekatan jalan raya  turut diadakan di Lundu, Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu dengan 1,084 buah kenderaan telah diperiksa di bawah Op Benteng.