MUKAH: Sokongan Bersatu dan Pas dengan tidak bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak akan membantu GPS meraih kemenangan dalam PRN-12, kata Adun Tellian Yusibnosh Balo.

Pendirian dan keputusan berkenaan, jelasnya, akan turut membantu menstabilkan keadaan politik negara.

Bersatu dan Pas merupakan antara anggota Perikatan Nasional yang memungkinkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pada awal Mac lalu selepas PH di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang.

Yunsinbosh mengakui bahawa keadaan politik Sarawak aman mantap di bawah GPS sehingga memungkinkannya membawa negeri ini menuju matlamat sebagai negeri maju menjelang 2030.

Pemerhati menyatakan, memang wajar bagi kedua-dua parti berpangkalan di Semenanjung itu untuk tidak bertanding sebagai tanda persefahaman dan solidariti terhadap GPS.

GPS ditubuhkan pada 12 Jun 2018 selepas BN tewas di peringkat pusat.

Ujar Adun Tellian itu lagi,  kepemimpinan GPS terbukti daripada kejayaannya menangani Covid-19.

“Rakyat dapat menilai sendiri peranan GPS dalam mentadbir negeri ini,” tegasnya.