Tuesday, June 28, 2022

Analisis PRK Chini: Tersurat dan Tersirat

Secara Rawak

Kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Chini sudah dijangka awal kerana Dun Chini merupakan kubu kuat BN. Dun Chini merupakan salah satu DUN dalam parlimen Pekan, selain DUN  Pulau Manis, Peramis Jaya dan Bebar. 

Parlimen Pekan pula diwakili  Datuk Seri Najib Tun Razak begitu lama sekali dalam sejarah politik, iaitu  selama 11 penggal. Sudah pasti dengan pelbagai jawatan disandang Najib Razak sebelum ini memberikan kelebihan yang besar  dalam konteks kemampuan untuk membawa impak pembangunan terhadap parlimen yang diwakili sejak tahun 1982.

Najib Razak  sudah menjadi 38 tahun bergerak aktif dan memegang jawatan strategik di negeri Pahang  sebagai  Menteri Besar Pahang (1982-1986) dan di peringkat persekutuan seperti Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1986-1987), Menteri Belia dan Sukan (1987-1990), Menteri Pertahanan (1990-1995),  Menteri Pendidikan (1995-1999), Menteri Pertahanan (1999-2008), Timbalan Perdana Menteri (2004-2009), Menteri Kewangan (2008-2018), Perdana Menteri (2008-2019).

Berdasarkan jawatan dipegang oleh ahli parlimen Pekan ini, maka adalah sukar bagi pihak pembangkang cuba menembusi parlimen Pekan.  Cuma pada tahun 1999 ketika era reformasi bermula, Najib pernah mendapat majoriti paling sedikit dalam sejarah parlimen Pekan apabila hanya mendapat 241 undi majoriti. Namun selepas itu, Najib kembali mengukuhkan kuasa politiknya dengan majoriti yang lebih besar.

PRK Chini

PRK Chini diadakan selepas kematian penyandang sebelum ini, iaitu Datuk Seri  Abu Bakar Harun akibat serangan jantung. Sebelum ini, arwah telah menjadi wakil rakyat Chini sejak pilihan raya umum ke-11, iaitu sejak tahun 2004.

Sebelum ini, arwah menang majoriti 4,622 undi dan memperoleh 10,027 menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.

Keputusan PKR ini pula menyaksikan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi.  Dua calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hanya mendapat 137 undi, menyebabkan kedua-duanya hilang deposit. 

Terdapat 20,990 pemilih berdaftar dalam PRK China dan sekitar 74 peratus turun mengundi. Penamaan calon diadakan pada 20 Jun 2020 manakala hari mengundi diadakan pada 4 Julai 2020.

Walaupun calon BN menang, namun  kalau dikira undi UMNO dan BN  sepatutnya 15, 432 undi.  Maknanya sokongan UMNO dan PAS belum lagi bersifat sepenuhnya.  Hal ini bermakna, terdapat akar umbi Pas sendiri belum lagi menyokong sepenuhnya Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. 

Yang menariknya dalam PRK ini,  Pas cuba menunjukkan keikhlasan mereka apabila Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang tewas kepada Abu Bakar pada PRU14, menjadi penyokong kepada Sharim pada hari penamaan calon 20 Jun lepas.  Timbalan Yang Dipertua Pas tersebut juga pernah beberapa menyertai pilihan raya lalu melawan UMNO tapi tewas. 

PH tidak bertanding 

Pakatan Harapan tidak bertanding pada PRK Chini  dengan memberikan alasan kerisauan mendalam terhadap terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak COVID-19. Sudah tentu, PRK pertama ketika wabak pendemik ini merupakan satu ujian pertama dari  pelaksanaan aspek tatacara aspek keselamatan dan kesihatan. Pandemik ini belum lagi pulih sepenuhnya dan boleh mengancam keselamatan rakyat. 

Dari  satu segi, ia juga dilihat bahawa peluang kemenangan di PRK Chini dilihat tidak memihak kepada PH kerana prestasi  pada pilihan raya umum lalu tewas teruk dengan majoriti besar. Tamabahan pula aspek penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa dijangka menyukarkan kempen dan waktu pengundian kelak.  

Pada masa yang sama PH seolah-olah mengaku kalah awal selepas langkah Sheraton. Sepatutnya PH boleh bertanding untuk membina momentum selepas Perikatan Nasional  mengambilalih. 

 Kawasan kubu kuat lawan ialah punca utama, malah Pas dan Umno juga pernah tidak bertanding apabila melihat peluang untuk menang sangat tipis.  

PKR pernah menang pada tahun 1999, bertanding dalam pilihan raya umum di Dun Chini dan menang majoriti tipis sebanyak 5 undi akibat undi protes pengundi Chini namun berjaya dijinakkan dan diambilalih ketika pemerintahan Abdullah Ahmad badawi 2004.

Misalnya, Barisan Nasional (BN) membuat tidak bertanding pada PRK Chempaka pada tahun 2015, Kelantan selepas kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Alasan diberikan oleh BN  adalah untuk memberikan tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember 2014.

Isu PRK Chini

Kawasan Dun Chini di bawah parlimen Pekan dan mempunyai kawasan majoriti Melayu sebanyak 70 peratus Melayu, maka agak sukar Pakatan Harapan menembusi  kawasan majoriti Melayu.Terdapat 70 kawasan majoriti 70 peratus Melayu dalam parlimen di negara ini.  Kekuatan Pakatan Harapan ialah kawasan campuran Melayu, Cina dan India. Apabila PH tidak bertanding maka ini memudahkan BN menang mudah dalam PRK Chini.

Dalam PRK ini terdapat jelas bahawa UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional bekerjasama teguh untuk memenangkan PRK ini.  Parti Bersatu tenggelam  dalam kempen PRK ini. Cuma selepas pengumuman Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada selepas PRU ke-15, maka barulah orang Bersatu dilihat berkempen di DUN Chini. 

Dalam konteks ini, Muhyiddin Yassin perlu melihat perkara ini untuk persediaan pilihan raya umum akan datang, untuk memastikan Muafakat Nasional tidak terlalu kedepan kerana akan mempengaruh kedudukan Bersatu.  Penyerlahan Perikatan Nasional perlu dilakukan sebelum Muafakat Nasional semakin ke depan kerana ia boleh menjejaskan pencalonan Muhiyiddin sebagai calon perdana menteri selepas PRU ke-15.

Politik Bulan dan Bintang

Selepas lebih 30 tahun isu masalah bekalan air dihadapi oleh  33 ribu rakyat di Felda  Chini dan kampung sekitar,penduduk kawasan Lembagai Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), masalah ini boleh selesai hanya apabila pilihan raya kecil Chini berlaku. 

Hal ini kerana kerajaan akhirnya mengumumkan pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga yang menjadi kolam takungan air terawat Chini. Nilai projek tersebut ialah lebih RM18 juta. Sebelum ini apabila musim kemarau akan berlaku  gangguan bekalan air hingga terpaksa menggunakan tong dram untuk menadah air dan catuan air. 

Pertambahan penduduk daripada tiga tanah rancangan sekarang sudah ada lapan tanah rancangan adalah antara faktor membawa masalah kepada bekalan air. Selain itu, Sungai dan takungan air Chini Timur  pula sangat kecil dari segi saiz dan kedalaman. Pengumuman ini dibuat seminggu sebelum penamaan calon dalam PRK Chini dan ini merupakan strategi untuk meredakan kemarahan pengundi Felda yang sudah lama suara mereka didengari.

Geran Hak Milik Tanah

PRK Chini memberikan rahmat kepada penduduk China apabila seramai 406 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Chini Timur 1 Pekan, Pahang menerima geran hak milik tanah walaupun 24 peneroka lagi menerima surat jaminan kerana isu pewarisan perlu diselesaikan sebelum hak milik dikeluarkan.

Sebenarnya Rancangan Felda Chini Timur 1 telah dibangunkan sejak 29 April 1975 dan menempatkan keseluruhan 430 peneroka pada tahun 1983 dan merupakan salah satu daripada 42 rancangan di bawah pentadbiran Pejabat Felda Wilayah Kuantan yang terletak dalam Daerah Pekan, Negeri Pahang.

Hal ini menunjukkan PRK Chini berjaya menamatkan penantian rakyat selama puluhan tahun yang ditanggung oleh warga Felda Chini Timur 1 Pekan.

Namun terdapat masalah lain belum selesai walaupun PRK Chini sudah berakhir.  Isu internet yang lemah, tanah merah yang masih ada lagi, keadaan pedalaman Felda perlu ditambahbaik, tanah dan kehidupan orang asli yang memerlukan perhatian dan tindakan.

Sebelum ini Pas dilihat mempunyai peranan dalam semak dan imbang terhadap masalah pembangunan di Chini. Namun selepas Pas menyertai Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional peranan semak dan imbang ini perlu diberikan perhatian oleh Pakatan Harapan.

Sebagai pengundi tradisional ketidakpuasan pengundi lebih mudah diredakan berbanding pengundi bandar. DUN Chini perlukan suara rakyat yang lebih kritikal agar mendapat pembangunan yang lebih baik lagi. 

Pengumuman kolam takungan air terawat Chini dan pemberikan geran tanah yang berpuluh tahun dinantikan adalah elemen untuk memujuk pengundi Chini untuk memberikan peluang kepada calon dan pemerintah BN menyelesaikan masalah rakyat dan strategi ini banyak dilakukan dalam PRK dan pilihan raya umum di banyak tempat dan kawasan di seluruh negara.  

Strategi dan Isu

Pemilihan wakil rakyat dalam kalangan peneroka Felda ialah strategi terbaik menangani isu ini, walaupun penyandang sebelum ini adalah daripada peneroka Felda. Dalam PRK ini juga, ternyata pengundi lebih mengutamakan faktor parti dan logo dacing berbanding calon. Hal ini menguntungkan calon yang bertanding dalam PRK Chini ini.

Selain itu, banyak jentera  parti bergerak di seluruh Chini. Pemimpin Umno dan Pas serta parti lain dilihat juga tunjuk muka dan berkempen.Selain cuba meraih undi, ini juga dilihat  untuk perhatian pemimpin atasan mereka kerana pilihan raya umum dijangka tidak lama lagi, maka perlu lobi dilakukan agar dicalonkan semula sebagai wakil rakyat pada penggal akan datang.   

Tenyata PRK Chini lebih memperlihatkan semangat Muafakat Nasional Umno dan Pas berbanding Perikatan Nasional. PRK ini juga tidak sengit dan kurang mencabar apabila PH tidak bertanding. Maka, BN boleh menang mudah di kawasan kubu kuat dan selamat Barisan Nasional.

Namun perhatian patut diberikan kepada penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) ketika wabak pandemik covid-19 masih jadi masalah nasional dan dunia. Aspek pematuhan dikatakan kurang berkesan kerana sidah terbiasa dengan norma lama khususnya dari segi sentuhan dan penjarakan.

Apabila pengundi menghulurkan tangan adalah sukar calon tidak menyambutnya. Begitu penjarakan sosial menjadi sangat minimum. Bertepuk bahu malah berpeluk mesra ahli politik dan pengundi sukar dielakkan akibat daripada perlakuan spontan dan kurang sedar. 

Hal ini perlu perhatian agar apa pun PRK mahupun pilihan raya umum dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat, semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya, pihak keselamatan dan kesihatan, parti politik, ahli politik dan pengundi perlu mengambil perhatian akan perkara tersebut.

Namun PRK Chini membuktikan, pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa  kerana ini meningkatkan keyakinan Perikatan Nasional untuk mengadakan bubarkan parlimen. Keyakinan Perikatan Nasional boleh menang besar juga akan berlaku melalui keputusan PRK Chini ini walaupun ia sebenarnya tidak mencerminkan keseluruhan atau bukan pengukur sebernar situasi politik nasional.

Apapun faktor feeling good kalangan rakyat akan berlaku selagi rangsangan ekonomi dan moratorium bank masih dirasai!

 Begitu juga di Sarawak, pembubaran DUN boleh dilakukan untuk mendapat mandat baru dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard(SOP) perlu dipatuhi! 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru