SARATOK: Berlaku peningkatan jumlah rampasan dadah jenis syabu dari tahun 2019 hingga tahun 2020 di Daerah Saratok yang merangkumi Kabong dan Roban.
 
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin berkata demikian sewaktu menjelaskan tentang statistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok hari ini.
 
“Bagi tangkapan dadah melalui saringan air kencing dari Januari hingga Disember 2019 menyaksikan sejumlah 79 orang diberkas dan dilakukan saringan air kencing. Daripada jumlah itu 46 orang didapati positif dan 33 orang adalah negatif.
 
“Manakala bagi kes memiliki dadah terdapat tiga kes dengan enam tangkapan dilakukan.
 
“Sebanyak 23.9 gram syabu berjaya dirampas polis sepanjang tahun 2019,” ujarnya.
 
Sementara itu tambahnya,bagi tahun 2020, bermula Januari hingga Jun 2020 seramai 62 orang ditangkap dan diuji air kencing dan sebanyak 42 orang didapati positif dadah manakala 20 lagi negatif.
 
Terdapat satu kes memiliki dadah dengan empat tangkapan dilakukan.
 
Jumlah rampasan syabu pula adalah sebanyak 42.06 gram.
 
Sehubungan itu Mordani berharap masyarakat setempat akan terus
memberikan kerjasama bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalah gunaan dadah di sekitar daerah ini.
 
Pihak polis katanya akan melakukan usaha berterusan bagi memberkas kegiatan pengedaran dan penyalah gunaan dadah dalam kalangan masyarakat bagi membendung kegiatan berkaitan dengan najis dadah daripada terus berleluasa.