KUCHING: Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian terkenal dengan ungkapan ‘jangan tengok saja’.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan tidak akan mahu memilih calon yang sekadar tengok saja untuk bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya negeri akan datang.

Sebaliknya, beliau mahu calon yang dekat di hati rakyat, calon yang selalu turun padang.

“Kami tidak mahu calon yang tengok saja. Seperti yang selalu saya katakan, jika anda tidak turun padang, bagaimana parti dapat mencalonkan anda,” kata Dr Sim yang memang cakap serupa bikin.

Beliau dilihat sering melawat kawasan DUN Batu Kawa yang diwakilinya, meninjau projek, mengenal pasti masalah rakyat, dan menjalankan aktiviti bersama-sama rakyat.

Ketika di akar umbi, berdasarkan pemerhatian, beliau tidak berasa kekok, malah diterima baik oleh rakyat di kawasan diwakilinya.

Beliau mengakui bahawa semua penyandang kerusi DUN akan ditampilkan dalam PRN akan datang.

Sebelum ini Presiden SUPP itu dipetik berkata, parti pimpinannya mahu bertarung di kerusi tradisi yang ditandingninya.

SUPP dijangka akan berdepan tentangan sengit daripada DAP dan PSB di kawasan majoriti Cina di bandar.