PAS sentiasa bertanding di Sarawak untuk sekian lama menentang PBB di kawasan majoriti Melayu dan Melanau.

Namun, tidak pernah menang dalam percubaan mereka. Jadi, apabila parti berkenaan bersama-sama dengan Bersatu mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang akan datang, ini menimbulkan banyak pertanyaan.

Benarkah kedua-dua parti itu memang tidak akan bertanding?

Langkah itu diambil kerana di peringkat persekutuan, kedua-dua parti itu berada dalam Perikatan Nasional  (PN) pimpinan Tan Sri Mahyuddin Yassin.

Pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Pemimpin yang hadir pada pertemuan itu ialah Presiden-presiden parti terdiri daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (MCA), Tan Sri S Vigneswaran (MIC) dan Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Abang Openg (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu).

Turut serta, Profesor Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), Datuk Seri Tiong King Sing (Parti Demokratik Progresif), Tan Sri Amar James Jemut Masing (Parti Rakyat Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Parti Bersatu Sabah), Tan Sri Panglima Joseph Kurup (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Parti Solidariti Tanah Airku).

Apakah makna keputusan drastik yang diambil oleh Bersatu dan PAS itu bagi GPS?

Maksudnya, GPS tidak akan menerima tentangan daripada kedua-dua parti itu yang pernah menjadi musuh politiknya ketika Kerajaan Persekutuan di bawah PH.

Justeru, dalam pilihan raya negeri akan datang, Pas dan Bersatu akan memberi sokongan terhadap calon GPS. Ini tentu memberi nafas lega kepada GPS yang bakal menerima tentangan terutamanya daripada DAP, PSB dan PKR.

Muhyiddin berkata, ketua-ketua parti yang berada dalam kerajaan PN bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri dan bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya menerusi satu hantaran pada Facebook beliau selepas pertemuan itu.

Muhyiddin turut mendedahkan bahawa mesyuarat itu diadakan selama dua jam dan turut dihadiri Ketua Whip kerajaan PN dan Setiausaha Agung  Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dilaporkan, menurut mereka yang menghadiri mesyuarat itu, kelihatannya Muhyiddin memikirkan untuk  mengadakan pilihan raya lebih awal. 

Persoalannya, bilakah PRU-15 akan diadakan?  Bilakah pula PRN-12 Sarawak dilangsungkan? Adakah akan diadakan serentak selepas diadakan berasingan untuk sekian lama?

Besar kemungkinan ia akan diadakan serentak kerana sentimen rakyat dikatakan memihak kepada PN dan GPS.

Berdasarkan perkembangan semasa, besar kemungkinan ia akan diadakan pada suku akhir tahun ini iaitu sekitar bulan September hingga Disember.

Tetapi, besar kemungkinan ia akan diadakan sekitar awal November meskipun ada yang menjangkakan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada suku pertama tahun depan.

Difahamkan, selain menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, objektif pertemuan ketua-ketua parti di bawah PN itu dipercayai ada kaitan dengan spekulasi pencalonan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat baharu.

Muhyiddin difahamkan memberi penjelasan berhubung keputusan beliau mencalonkan Datuk Azhar Azizan bagi menggantikan penyandangnya, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof dari Parti Amanah Negara (Amanah) susulan terdapat kegusaran dalam kalangan segelintir ahli Parlimen PN terhadap perkara itu.

“Selain itu, pertemuan tersebut juga dipercayai membincangkan strategi kerajaan PN bagi menangani dua usul undi percaya kepimpinan Muhyiddin dikemukakan Pas serta usul undi tidak percaya terhadap beliau yang bakal dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Parlimen 13 Julai depan.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing berkata, walaupun Bersatu dan Pas ada mempunyai cawangan di Sarawak tetapi mereka tidak akan bertanding pada PRN12 nanti.

“Jaminan ini memberi laluan jelas kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melawan pembangkang selain ia petanda baik bahawa parti komponen PN komited membantu GPS pada PRN12,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Masing menambah, salah satu faktor sama yang menggabungkan parti komponen dalam PN adalah menolak DAP sebagai sebahagian daripada gabungan.

Malah katanya, Muhyiddin bersama-sama barisan pemimpin parti yang lain turut yakin memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Keyakinan itu tentu berasas memandangkan ketika ini, PH berdepan krisis dan kebuntuan dalam memilih calon Perdana Menteri. Imejnya juga terpukul teruk selepas tumbang gara-gara bikinan sendiri apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS pada mesyuarat  di Putrajaya menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan mengetuai PRU15.

Abang Johari turut memaklumkan, GPS bersama-sama empat parti komponen sudah bersedia untuk mengharungi PRN-12 yang bakal berlangsung pada bila-bila masa. Empat parti komponen GPS ialah PRS; Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ya, PRU dan PRN kali ini menarik untuk diikuti. Adakah GPS akan dapat mengekalkan kuasanya? Adakah PN juga akan terus bertahan di Putrajaya? Adakah Muhyiddin akan terus menjadi Perdana Menteri?