LAWAS: Penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Lawas ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran, tetapi juga meningkatkan sosioekonomi masyarakat di Lawas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah bin Ali Hasan berkata, pembinaan MRSM Lawas ini merupakan yang ke lima di Sarawak dan siapnya nanti akan memberi peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar di kawasan Utara Sarawak dengan sasaran seramai 450 pelajar.

“Penubuhan MRSM Lawas yang dijangka siap pada 2024 akan membuka peluang dan laluan pendidikan yang lebih luas melalui MARA khususnya dalam melahirkan golongan teknokrat dan professional sains yang mahir dalam bidang STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics).

“Dari aspek sosio-ekonomi pula, ia mampu menambahkan jumlah populasi penduduk sekitar Lawas kerana peningkatan aktiviti ekonomi seperti perusahaan kecil dan sederhana, peruncitan, perusahaan makanan, kedai elektrik, dobi, dan lain-lain lagi,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Geran Tapak MRSM Lawas yang diadakan di Hotel Seri Malaysia Lawas pada Jumaat.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Dr Abdul Latiff bin Ahmad berkata penubuhan MRSM Lawas ini membuktikan tekad kerajaan persekutuan dan negeri untuk terus membangunkan prasarana pendidikan terbaik bagi membangun modal insan di negeri Sarawak.

“Kewujudan MRSM Lawas yang bakal siap pada tahun 2024 dengan siling peruntukan sebanyak RM140 juta ini menjadi bukti kedua-dua Kerajaan Sarawak dan Persekutuan untuk membangunkan modal insan di negeri ini.

“MRSM merupakan institusi pendidikan menengah yang ditubuhkan selaras dengan matlamat dan keperluan negara untuk memberi kemudahan pelajaran kepada pelajar-pelajar Bumiputera yang pintar cerdas, mempunyai kebolehan akademik dan intelektual yang tinggi untuk mengembangkan potensi mereka,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman bin Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar Dato Dr Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pembangunan Luar Bandar Dato Norisan binti Ramli, Ketua Pengarah MARA Dato Azhar bin Abdul Manaf, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney bin Ahmad Fauzi dan Pegawai Daerah Lawas Ladin bin Atok.