MIRI: Ibu bapa disaran untuk memerhatikan perlakuan dan kegiatan anak-anak yang ketika ini banyak menggunakan media sosial untuk berkomunikasi dan berhubung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata, pengaruh media sosial sangat kuat dan jika tidak dipantau boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini walaupun pada masa yang sama media sosial ini ada memberi kebaikan.

“Saya mengharap ibu bapa sentiasa memastikan anak-anak dengan perhatikanlah kegiatan anak-anak sebab pengaruh media sosial begitu kuat dan ia boleh mendorong anak-anak kita ke keadaan tidak diingini dan pada masa yang sama juga ia boleh menjadi satu alat bantuan belajar sekiranya digunakan dengan baik,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang SPM dan Pemantauan Perkembangan Projek Pembinaan Projek RTP Dewan SMK Taman Tunku pada Jumaat.

Pada majlis itu, Ripin telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP)berjumlah RM20,000 kepada pihak sekolah bagi menjayakan program dan aktiviti sekolah.

Selepas majlis itu, beliau bersama pengetua sekolah telah mengadakan lawatan ke dewan sekolah tersebut bagi memantau perkembangan pembinaan projek RTP Dewan Sekolah Taman Tuanku yang bernilai RM600,000.