BENGALURU: Lelaki berusia 52 tahun meninggal dunia selepas 18 hospital enggan menerimanya kerana bimbang lelaki malang itu dijangkiti virus korona.

Lelaki itu dikatakan mengalami kesesakan nafas sejak beberapa hari namun kebanyakan hospital tidak mahu menerimanya kerana mereka kekurangan peralatan membuat ujian saringan terhadapnya.

Selang beberapa hari selepas insiden itu, lelaki tersebut meninggal dunia. Kata-kata terakhirnya ialah: “Saya tak dapat bertahan lagi. Tolong bawa saya pulang, atau masukkan saya ke hospital. Saya tak dapat bernafas.”

Menurut laporan media, keluarga mangsa cuba menghubungi 32 hospital dan berkunjung ke 18 hospital termasuk hospital swasta yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di seluruh Bengaluru.

Namun, tiada satu pun hospital yang mahu menerimanya. Lelaki tersebut merupakan pemilik kedai pakaian di Bengaluru.

Dia mengadu suhu badannya meningkat dan sering mengalami kesukaran bernafas.

Kedua-dua ini merupakan simptom Covid-19. Keluarganya memberitahu, mereka terpaksa membeli silinder oksigen bagi membantunya bernafas selepas hospital tidak mahu menerimanya.

Mereka merayu di hospital, namun permintaan mereka tetap ditolak.

Selepas menjalani ujian saringan Hospital Lady Curzon bersetuju menerimanya namun lelaki itu meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke wad.

Dia meninggal dunia di tangga hospital tersebut. Keluarganya berharap orang lain tidak akan melalui perkara serupa pada masa akan datang. Biarpun belum dapat dipastikan sama ada dia dijangkiti virus korona, namun mereka kehilangannya kerana situasi “takut” yang diwujudkan oleh virus itu.