KUALA LUMPUR: Bertema ‘Data Anda Masa Depan Kita’, Bancian  Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 akan dihitung mulai Selasa ini.

Banci tersebut adalah kali keenam dilaksanakan setiap 10 tahun sejak 1963 dan kali ini ia merangkumi sembilan juta kediaman bagi mendapatkan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Berdasarkan maklumat laman web mycensus.gov.my, aktiviti banci akan dilaksanakan di semua kawasan perumahan dan kediaman di seluruh Malaysia dalam dua fasa, iaitu fasa pertama secara dalam talian bermula 7 Julai hingga 30 Sept ini, manakala fasa kedua bermula 7 Okt hingga 24 Okt secara bersemuka.

Pembancian dijalankan ke atas semua orang di tempat tinggal biasa mereka pada hari bancian, termasuk bukan warganegara yang telah atau akan tinggal selama enam bulan atau lebih di Malaysia dalam tahun ini.

Namun, bayi yang lahir selepas Hari Banci, orang yang meninggal dunia sebelum Hari Banci, serta bagi mereka yang tinggal di luar negara ataupun akan keluar negara bagi tempoh enam bulan atau lebih untuk bekerja atau belajar, mereka dikecualikan daripada kiraan banci.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, sebelum ini, pewartaan Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Banci 1960 menyatakan arahan banci penduduk dan perumahan dibuat di seluruh Malaysia berdasarkan Hari Banci iaitu pada 7 Julai.

“Melalui pewartaan itu juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sebagai Pesuruhjaya Banci yang keenam untuk menyelia pembancian dan memastikan perancangan serta hala tuju pelaksanaan banci berjalan dengan lancar,” memetik kenyataan itu seperti dilapor Bernama.

Selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, pengumpulan maklumat banci secara dalam talian mula diperkenalkan menerusi Portal Banci dan aplikasi mudah alih pada Banci 2020