KUCHING: Sarawak merupakan negeri yang berpotensi dan mempunyai peluang besar untuk diperkembangkan dalam industri francais yang harus digunakan sepenuhnya bagi membantu dalam pembangunan ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) , Datuk Alexander Nanta Linggi memberitahu, KPDNHEP kini sedang berusaha dan komited untuk membangunkan industri tersebut serta melahirkan lebih ramai pemain industri di Sarawak.

“Kita harus memperkembangkan industri francais di negeri Sarawak dengan memberikan ilmu atau mendidik mereka. Memang betul, sekiranya tidak dimaklumkan, kita tidak akan tahu.”

Beliau berkata demikian dalam majlis Pocket Talk bersama francaisor di Kuching, semalam.

“Semasa perjumpaan bersama dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, turut dibincangkan mengenai cara untuk membantu komuniti di sarawak dalam perniagaan francais ini,” jelasnya.

Datuk Alexander menambah, pihaknya kini dalam usaha untuk mengurangkan modal permulaan bagi perniagaan francais untuk membuka peluang kepada golongan muda melibatkan diri dalam industri tersebut.

“ Francais seringkali dianggap memmerlukan modal yang besar dan mahal, jadi, Kmeneterian saya akan mencari cara untuk mengurangkan modal permulaan,”

“Kalau sekarang RM200,000 baru boleh masuk, mungkin kita akan hanya meletakkan RM100,000 bagi memberi peluang dan menarik lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam industri francais ini.”