Banyak pihak berkata, terdapat tanda hubungan  antara DAP dengan PKR menunjukkan wujudnya ketegangan setelah parti itu bertindak cenderung untuk menerima cadangan agar ahli parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad menyandang jawatan yang dipegangnya sebanyak dua kali.

Mahathir malah mahu  dirinya dicalonkan walaupun menyedari beliau bakal menyambut ulang tahun ke-95 dalam beberapa hari lagi.

DAP dan Amanah mahu Mahathir sedangkan PKR bertegas mahu Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini mencetuskan ketegangan dan menyebabkan presiden Bersatu yang dipertikaikan, Mahathir, berubah-ubah pendiriannya.

Terakhir beliau mahu Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dicalonkan sebagai perdana menteri, dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Anwar menjadi timbalan perdana menteri.

Tindakan berkenaan dikritik banyak pihak, tetapi Mahathir mendakwa bukan dia yang mencalonkan anaknya ke jawatan itu. 

PKR dipetik berkata, cadangan berkenaan tidak pernah dibincangkan.

Di tengah-tengah pelbagai spekulasi mengenai hubungan DAP-PKR, semalam bagai hendak meredakan keadaan Anwar dengan setiausaha agung DAP Lim Guang Eng mengadakan pertemuan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mengumumkan pertemuan itu melalui media sosial dengan kapsyen dan tanda pagar #kawantetapkawan.

Pada zaman reformasi selepas beliau dipecat pada 1998 oleh Mahathir sebagai timbalan perdana menteri, Anwar mengemukakan slogan lawan tetap lawan yang kemudiannya menggelombang dalam kalangan rakyat.

“Terus bersama perkukuh muafakat,” kata Anwar.

Kredit : Instagram Anwar Ibrahim