KUCHING: Sarawak merekodkan tiada kes positif baharu Covid-19 untuk enam hari berturut-turut hari ini menjadikan jumlah kes positif kekal  571 kes dengan 17 kematian. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  memaklumkan tiada kes baharu yang sembuh dan discaj dari hospital, hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang sembuh dan discaj kekal sebanyak 545 orang atau 95.45 peratus. 

“Seramai sembilan orang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi hospital dengan jumlah kematian kekal sebanyak 17 orang,” katanya dalam satu kenyataan. 

“Bagi kes orang disyaki (PUI), sebanyak 12 PUI baharu dilaporkan dengan tiga kes masih menunggu ujian makmal,” katanya. 

JPBNS turut memaklumkan seramai 87 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin hari ini menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 13 buah hotel  719 orang dengan 17,481 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin. 

Mengenai pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, setakat ini  2,154 premis telah dipantau meliputi pasar raya, restoran, kilang, bank, pejabat kerajaan, penjaja, pasar tani/awam, tempat ibadah, tempat riadah, tapak pembinaan dan lain-lain. 

Dalam pada itu, daripada enam sekatan jalan raya yang dijalankan di lima daerah iaitu Lundu, Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu, sebanyak 994 kenderaan telah diperiksa.