DELHI: Seorang ahli perniagaan dari Delhi menghadapi masalah kewangan, merancang membunuh diri, namun dia takut melakukannya.

Ekoran itu dia mengupah empat lelaki membunuhnya. Tujuannya agar keluarganya mendapat pampasan insurans selepas kematiannya.

Gaurav Bansal, 40, menyara keluarganya dengan menjual barang runcit namun kemunculan pandemik Covid-19 ini menyebabkannya terbeban dengan hutang puitang.

Kerugian dialaminya menyebabkannya menjadi tidak keruan sehingga dilanda tekanan perasaan. Apabila merasakan dia tidak mampu lagi bertahan dengan bebanan, dia mengambil keputusan membuat pinjaman peribadi RS6 lakh (AS$7,900) dan merancang pembunuhannya sendiri.

Pada mulanya dia hendak membunuh diri, namun apabila merasakan dia tidak mampu melakukannya, dia mengupah empat lelaki membunuhnya.

Polis menemui mayatnya tergantung di sebatang pokok di Najafgarh pinggir Delhi. Kesnya diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan bukan bunuh diri selepas polis menemui kedua-dua tangan dan kakinya diikat.

Siasatan dijalankan dan keempat-empat lelaki itu berjaya diberkas. Suspek pertama ialah remaja dan dia meminta bantuan rakan-rakan yang lain membantunya.

Rancangan Bansal terbongkar selepas suspek pertama menceritakan mereka melakukan semua perkara itu atas arahan Bansal sendiri. Kes ini masih dalam siasatan polis.