KUCHING: Dalam keadaan norma baharu yang sedang dialami di seluruh dunia, perkara yang menggusarkan ibu bapa adalah mengenai kesihatan dan keselamatan apabila menghantar anak-anak ke pusat jagaan.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, ibu bapa mesti yakin bahawa setiap taska dan tadika telah dinyahkuman dengan kerjasama pihak bomba sebagai usaha mencegah wabak COVID-19 ini.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan ke Tadika Krista Taman Centurion 1 di Kuching pada Khamis.

Dato’ Sri Fatimah menambah, kementeriannya membenarkan untuk menggunakan peruntukan Geran Tahunan Khas (GTK) sebanyak RM5000 yang diberikan kepada taska dan tadika berdaftar, bagi membeli cecair pembasmi kuman, alat pemeriksa suhu, dan lain-lain keperluan untuk tujuan pencegahan.

“Pemantauan oleh pihak kementerian sebelum ini mendapati semua tadika mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat dan sihat.” Ujarnya.

Beliau turut menambah, penggunaan sistem pengiliran antara dua kumpulan, dua sesi iaitu sesi pagi dan petang serta menggunakan kelas kosong untuk pengisian aktiviti lain bagi kanak-kanak lain supaya mereka tidak berada di ruang yang sama di tadika dan taska akan dibincang antara operator tadika dan ibu bapa.