KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu setiap produk tempatan Sarawak yang berpotensi untuk diangkat dan dipasarkan sebagai produk pelancongan yang boleh dijual di pasaran antarabangsa.

Dalam siaran media bersama CENTEXS Commersial dan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) berkata, produk seperti songket dan keringkam adalah salah satu contoh produk tempatan untuk dipasarkan selain mengangkat semula khazah warisan Melayu Sarawak lama.

“Penubuhan Galeri Songket dan Keringkam Sarawak yang telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 6 Mac lalu bertujuan untuk memperkenalkan dan memberi pendedahan kepada pengunjung dan generasi muda mengenai kewujudan songket dan keringkam di Sarawak,” katanya.

Pada Khamis, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Sri Nancy Shukri bersama Menteri Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew telah melawat Galeri Songket dan Keringkam Sarawak yanng terletak di tepi Padang Merdeka Kuching.

Untuk itu, CENTEXS Commercial telah berperanan untuk mempromosi dan mengkomersialkan songket dan keringkam Sarawak supaya dapat memasuki ke pasaran antarabangsa.

Selain mempamerkan produk songket dan keringkam Sarawak, galeri ini juga dijadikan sebagai satu pusat maklumat bagi koleksi dokumen, catatan dan miniatur untuk dijadikan bahan rujukan serta boleh merasai sendiri pengalaman menenun songket dan menyulam keringkam dengan menggunakan mesin tradisional.