KABONG: Projek pembinaan bangunan baharu untuk Sekolah Kebangsaan Abang Leman di sini akan bermula dalam masa terdekat ini.

Papan tanda yang memaparkan nama syarikat kontraktor yang dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan projek berkenaan sudah didirikan petang semalam dan jentera berat untuk meratakan tanah di kawasan terlibat juga sudah mula memasuki kawasan projek dan beroperasi.

Projek pembinaan bangunan baharu sekolah tersebut di bawah pelan gantian penuh akan melibatkan pembinaan sebanyak 30 bilik darjah, dua buah asrama membabitkan asrama lelaki dan perempuan, 12 unit rumah guru dan beberapa kemudahan lain.

Pembinaan bangunan baharu SK Abang Leman sepatutnya dimulakan beberapa tahun lalu selepas pengumuman berhubung projek tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Naji Razak pada tahun 2016.

Namun proses pembinaannya tertangguh kerana berlaku penstrukturan semula kos pembinaan berdasarkan harga material binaan tahun semasa.

Perubahan tampuk kepimpinan kerajaan pada tahun 2018 juga turut memberi kesan kepada pelaksanaan projek berkenaan.

Bagaimanapun projek pembinaan bangunan sekolah berkenaan akhirnya mendapat lampu hijau untuk dimulakan pada awal tahun ini. Namun baharu sahaja dalam proses penghantaran jentera dan bahan asas untuk mendirikan pagar
kawasan projek, wabak Covid-19 pula muncul.

Sekali lagi kerja-kerja awal pembinaan tertangguh apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
dikuatkuasakan oleh kerajaan pada 18 Mac bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Berdasarkan perjanjian kontrak yang tertera pada papan tanda projek, tempoh masa pelaksanaan projek adalah dari 1 Februari 2020 hingga 5 November 2022.