MIRI: Perniagaan hartanah di bandar ini mulai naik perlahan-lahan selepas pelaksanaan PKP dan PKPB susulan serangan Covid-19.

Menurut Presiden Persatuan Cina Bahagian Miri Sarawak Datuk David Goh, tidak dinafikan Covid-19 telah memberi kesan kepada ekonomi di bandar raya ini, tetapi tidaklah sampai terlalu teruk.

“Ekonomi Miri pada amnya tidaklah teruk sangat,” katanya.

Beliau memberi reaksi terhadap mesej yang tersebar melalui media sosial bahawa perniagaan dan ekonomi di bandar ini terjejas teruk dengan 1,000 kedai sukar mendapatkan penyewa.

Hakikatnya, penutupan sempadan negara jiran Brunei  turut memberi kesan kepada perniagaan di bandar ini.

Pada hujung minggu bandar Miri menggelegak dengan aktiviti, sebahagiannya kerana pelancong dan pengunjung dari Brunei Darussalam.

“Pandemik, tidak disangkal, telah memberi kesan kepada ekonomi kita, tetapi tidaklah ke tahap yang dikatakan itu,” jelasnya.

Beliau menasihati netizen supaya menghentikan penyebaran mesej sedemikian melalui media sosial tanpa berasaskan data atau sumber sahih.